Selasa, 24 Mac 2009

Sistem Pengairan Fertigasi

Terdapat 3 jenis sistem pengairan utama yang biasa digunakan dalam sistem fertigasi. Tujuan utama sistem pengairan ini dicipta adalah untuk mengairi tanaman bersama dengan campuran cecair baja secara sekata dan intensif yang bertujuan untuk mengatasi titik pulang modal (Break Even Point) untuk sesuatu projek pertanian. Jenis sistem pengairan yang dimaksudkan ialah ialah sistem pengairan titis (Drip Irrigation System), sistem pengairan renjis (Sprinkler Irrigation System) dan sistem pengairan kabus (Fog/Mist Irrigation System). Ketiga-tiga sistem pengairan ini digunakan mengikut situasi projek pertanian.

Di antara faktor penentu sistem pengairan yang sesuai adalah iklim (suhu dan kelembapan), kesesuaian tanah (pH, Kos pengurusan nutrisi berdasarkan ukuran CEC tanah) dan jenis medium tanaman. Sekiranya peladang ingin melaksanakan projek pertanian berasaskan sistem fertigasi, faktor-faktor penentu ini perlu diambil kira untuk memaksimumkan margin keuntungan.

Dari segi sejarah, sistem pengairan titis merupakan salah satu daripada inovasi yang terpenting dalam sejarah agroteknologi. Penemuan ini dicetuskan oleh seorang jurutera hidrologi berbangsa Yahudi yang bernama Simcha Blass dan anaknya, Yeshayahu. Bapa mencetuskan idea manakala anaknya pula mencipta penitis. Adalah menjadi kebiasaan di mana kebanyakan teknologi penting di dunia dicipta di Israel atau oleh Yahudi seperti Lampu trafik, perakam video dan sebagainya. Sistem pengairan titis dipatenkan di Pejabat Paten Amerika Syarikat.

Sistem pengairan titis merupakan sistem pengairan yang paling berkesan dan efesyen kerana bekalan air dengan campuran baja dapat di salurkan terus ke akar pokok. Sistem ini mengelakkan penggunaan air yang berlebihan serta dapat mengatasi risiko kehilangan air ke udara disebabkan kemeluapan. Sistem ini boleh diaplikasi dengan menggunakan pen penitis atau pita titis. Pen penitis menyalurkan air melalui tiub mikro yang disambung dari paip sub di setiap lorong. Pen penitis boleh menyalurkan air ke dalam polibeg, ke atas batas atau di mana-mana sahaja yang dikehendaki kerana pen penitis ini disambungkan dari tiub mikro. Pita titis menyalurkan air melalui lubang-lubang halus (emitter) yang berada di sepanjang pita tersebut. Pita titis hanya boleh diaplikasikan di atas batas yang lurus, pokok ditanam terus di atas tanah. Kos sistem pengairan titis dengan menggunakan pen penitis lebih tinggi berbanding dari sistem pengairan titis dengan mengunakan pita titis, tetapi kedua-dua sistem ini mempunyai pro dan kontra.

Sistem pengairan renjis dan kabut adalah yang paling biasa digunakan. Sistem ini masih dipraktikkan begi memelihara kelembapan kawasan serta membekalkan air. Ia masih praktikal bagi membekalkan air yang sekata di kawasan permukaan yang padat seperti padang rumput dan pokok-pokok bunga. Pokok-pokok yang tidak tahan kepanasan adalah teramat sesuai.

Pereka sistem pengairan fertigasi memerlukan skil untuk mengira bajet dan kos air berpandukan jenis tanaman. Pereka juga perlu mengambil kira kapasiti, kuantiti dan kuasa sesuatu sistem. Kini, banyak perisian memudahkan perkiraan ini dan kebanyakan produk pita titis disertakan dengan perisian untuk pereka dengan percuma. Terdapat juga persamaan matematik yang dapat mengira Kadar Aplikasi (Application Rate) bagi menentukan tempoh pengairan yang diperlukan dan persamaan untuk mengira kadar konsentrasi baja yang diperlukan.

Gambar 1: Sistem pengairan titis (pita titis)


Gambar 2: Sistem pengairan titis (pen penitis)

Pada kebiasaannya, sistem pengairan titis dengan mengunakan pita titis adalah merupakan keutamaan sekiranya keadaan tanah adalah sesuai. Sekiranya, pengguanaan tanah tidak sesuai, pen penitis digunakan untuk mengairi pokok di dalam polibeg.

Kelebihan menggunakan polibeg serta pen penitis ialah dapat mengatasi masalah kesesuaian tanah, dapat mengawal rumpai dengan mudah dan mengelakkan kos pelau dan rotor. Antara kekurangan disebabkan penggunaan polibeg ialah penambahan kos polibeg, kos medium, jangkahayat paip mikro dan polibeg yang rendah dan kos sistem paip yang lebih mahal dari pita titis. Polibeg perlu ditukar setiap 4 bulan atau lebih, mengikut jenis dan kualiti. Kelebihan menggunakan pita titis di atas batas ialah sistem paip yang jauh lebih mudah dan murah, praktikal untuk ladang yang luas dan tahan lama jika diaplikasi di bawah permukaan tanah. Di antara kekurangan penggunaan pita titis ialah sukar atasi masalah CEC tanah, kos pelau dan rotor yan tinggi, kesukaran atasi masalah rumpai, serangga dan sebagainya.